Check these out!

MBT-01 Brake




Digunakan untuk memperlahankan atau memberhentikan kereta anda, ia dipanggil brek. Suisnya terletak pada pedal kedua dari kanan di kaki pemandu dan disambungkan dengan sistem hidraulik kepada cakera dan pengapit di setiap tayar anda.

Brek hadapan setiap kenderaan biasanya berbentuk disc brake atau cakera. Sekeping besi bulat akan diapit oleh pengapit. Di bahagian belakang pula ada sesetengah kereta yang menggunakan brek jenis drum dan ada yang menggunakan jenis disc.

Perbezaan pada drum dan disc? Drum brake lebih murah harganya dan tidak perlu diselenggara dengan kerap, manakala disc brake lebih mahal dan brake padnya lebih cepat haus dari drum brake. Sistem brake disc berfungsi lebih baik pada kelajuan tinggi manakala dalam keadaan statik, brake drum memberi cengkaman yang lebih jitu.

Misalnya pada keadaan pegun atau parking, sebuah brake drum beroperasi lebih baik walaupun pada cerunan bukit. Ia mampu menghalang kereta untuk bergerak. Manakala disc brake tidak sebaik drum brake pada keadaan statiknya, ia lebih baik beroperasi pada suhu yang lebih tinggi.

Jadi mengapa ada diantara kereta yang dibekalkan dengan disc brake pada bahagian belakang jika drum brake berfungsi dengan lebih baik?

Sebelum itu anda perlu tahu bagaimana sesebuah kereta diperlahankan atau diberhentikan, ia bukan bergantung kepada cengkaman brek semata-mata, tapi lebih kepada keupayaan sebuah brek untuk memerangkap lebih banyak haba. Tenaga tidak boleh dihapuskan tapi boleh berubah bentuk. Sebuah kereta yang bergerak mempunyai tenaga kinetik, dan untuk menghentikannya, brek akan menukarkan tenaga kinetik kepada tenaga haba yang dihasilkan pada brek dan tayar.

Sebuah disc brake kereta biasa mampu menghasilkan lebih 100 darjah selsius haba dan tidak lebih 300 darjah selsius. Ia akan memerangkap sebanyak haba yang boleh pada disc brakenya. dan haba berkenaan akan disejukkan melalui udara yang melaluinya. Ini akan menyejukkan disc brake dan sekaligus meningkatkan keupayaan sebuat disc brake untuk menghentikan kenderaan dengan lebih baik.

Jika anda mempunyai pengalaman menuruni sebuah gunung dengan kenderaan anda dan mendapati brek anda tidak berfungsi seperti biasa, ini bermakna brek anda telah mencapai suhu maksimumnya. Cara yang lebih baik adalah dengan menggunakan engine braking iaitu menggunakan gear rendah semasa menuruni bukit berbanding menggunakan brek anda. Lepaskan brek anda untuk seketika supaya anda boleh mengurangkan suhunya.


Kereta yang lebih laju akan dibekalkan brek yang lebih besar dengan material disc brake atau brake pad yang lebih baik. Begitu juga dengan pengapit atau caliper, brek yang lebih baik mempunyai caliper dengan empat atau lebih omboh yang membantu caliper mengapit dengan lebih baik.

Brake pad dan brake disc dengan material tertentu seperti titanium, ceramic atau carbon fiber mampu menyerap haba yang lebih tinggi atau mempercepatkan proses menyejukkan brek berkenaan. Sesetengah besi campuran pula mampu meningkatkan daya sebuah disc brake untuk menyerap lebih haba dari sebuah disc brake biasa.


MBT-01 Tayar


Sejenis getah sintetik bertulangkan dawai besi dan berisi angin sekurang-kurangnya 28psi. Terletak pada rim anda ia merupakan bahan penebat yang menyambungkan kereta anda dengan permukaan jalan sekiranya anda tidak melalukan perkara lain yang melucukuan.


Sejenis getah yang tidak asli ini berfungsi menggerakkan kereta anda dengan lebih efisyen. Ia perlu berbentuk bulat, berupaya menghasilkan geseran ke setiap arah dan berupaya memberi laluan kepada cecair untuk keluar dari permukaannya.

Merupakan nyawa anda ketika di dalam kenderaan anda yag bergerak, anda bergantung sepenuhnya terhadap kewarasan tayar anda dan daya geseran ang dihasilkan. Mengharapkan ia tidak hilang geseran, atau meletup di tengah jalan, anda perlu tahu bila tayar anda akan melakukan aksi berkenaan.

Tayar yang lebih lebar dari saiz asal yang dibekalkan oleh pengeluar akan memberi anda lebih cengkaman dan lebih kelajuan pada pecutan. Tetapi apa yang lebih penting adalah bahan yang digunakan oleh tayar berkenaan serta kompaun jenis keras atau lembut. Dikelaskan sebagai kategori street tire, Sport tire, Racing slick tire, ketiga kelas ini digunakan untuk tujuan berbeza.

Street tire, untuk mereka yang berada di jalanan menghabiskan masa yang bagus untuk ke pasar atau bekerja atau menghabiskan sisa-sisa hidup mereka yang tidak berguna. Karakter tayar ini adalah tahan lama dan murah. Kurang baik untuk kelajuan dan sedikit berbahaya untuk jalan basah. Taya jenis ini boleh bertahan sekurang-kurangnya 2 tahun atau lebih. bergantung pada perjalanan pengguna. Untuk mereka yang memandu kereta yang boleh mencecah kelajuan 100kmj kurang dari 12 saat, anda dinasihati mengelakkan tayar jenis ini.

Sport tires, tidak semestinya digunakan ketika anda pergi bersukan, tetapi untuk kereta anda yang sering bersukan. Tak kira sukan memecut atau larian sepanjang lebuhraya utara selatan atau kejar mengejar di bukit tinggi, ia sesuai untuk mereka yang agar terkejar-kejar. Tayar jenis ini mempunyai kompaun yang lebih lembut bermakna lebih cengkaman. Ia mampu menyelamatkan anda dari hilang kawalan ketika memandu dan mampu membuat poket anda hilang kewangan. Tayar jenis ini lebih kerap ditukar kerana cengkamannya yang tinggi. Jika anda menggunakan tayar jenis ini, anda mungkin tidak mahu menggunakannya dengan kasar secara kerap melainkan kewangan anda sangat baik. Juga dikenali setengahnya dengan panggilan semi slick tire.

Jika anda seorang yang sederhana tayar jenis Racing Slick bukanlah jenis yang anda mampu miliki, apatah lagi untuk berada di atas jalanraya dengan tayar ini. Ia cuma sesuai untuk sebuah kereta yang bersedia untuk berlumba dan biasanya digunakan di atas litar. Dengan rupanya yang huduh dan tak bercorak, ia mempunyai kompaun yang lembut yang memberi cengkaman yang sungguh jitu tidak seperti tayar murah yang mampu kita miliki! Tapi jangka hayatnya yang cuma boleh bertahan untuk beberapa kali pusingan litar membuatkan kita bersyukur dengan apa yang kita ada.

Diameter keseluruhan tayar juga memberi pengaruh kepada kelajuan kereta anda. Diameter lebih besar memberi kelajuan pada tahap tinggi manakala saiz yang lebih kecil memberi kelebihan pada pecutan. Tekanan angin dalam tayar juga penting, tekanan yang biasa akan memberi cengkaman dan tahan lebih lama. Lebih tekanan akan membantu pecutan tapi membahayakan anda di selekoh serta ia akan membantu memberi hayat yang lebih panjang pada tayar, tekanan yang tertentu akan membantu anda pada selekoh.

Ketebalan tayar mengubah keselesaan anda. Tayar yang lebih tebal memberi keselesaan tinggi manakala yang lebih nipis membantu anda dalam selekoh. Penggunaan tayar nipis memerlukan rim yang lebih kuat dan tahan lasak untuk mengelakkan sebarang kerosakan pada rim anda.


MBT-01 suspension






Sistem suspension atau sistem gantungan merupakan sistem yang penting dalam menentukan kestabilan dan keselesaan kereta anda. Terdiri dari Spring dan Absorber di mana lingkaran spring bertugas untuk menyerap sebarang daya dari atas dan bawah dan 'Shock Absorber' untuk menyerap hentakan yang dihasilkan oleh beban kenderaan atau daya yang datang.


Sejarah suspension bermula dengan Leaf Spring, sistem spring yang tidak menggunakan lingkaran atau coil. 5 batang besi nipis yang bertindih diantara satu sama lain yang diikat pada setiap hujungnya. Besi ini akan melantun dari atas ke bawah setiap kali daya dikenakan. Dan terdapat Shock absorber akan bertugs menyerap hentakan. Spring jenis ini sangat tahan lasak dan digunakan oleh kebanyakan lori dan Pickup truck di zaman sekarang. Untuk menggunakan suspension jenis ini, kenderaan berkenaan haruslah tinggi dari permukaan jalan. Ia tidak sesuai dengan kereta kini yang lebih rendah.


Leaf Spring



McPerson

Jenis yang biasa ditemui lebih-lebih lagi pada bahagian hadapan kereta. Jenis ini menggunakan coil spring atau lingkarang spring. Jenis suspension ini menyatukan spring dan absorber. Di mana absorber diletakkan di dalam lingkarang spring dan dicantumkan.

Suspension jenis ini lebih keras berbanding jenis lain. Terdapat juga jenis 'adjustable' untuk Mcperson yang boleh diubah ketinggian dan tahap kekerasannya. Untuk setengah jenis Mcperson adjustable, ia mempunyai 2 spring pada setiap absorber. Spring kecil di bawah untuk keselesaan dan spring yang lebih besar di atas untuk mengawal damping force kenderaan berkenaan.


Tein Mcperson Fully Adjustable



Multi link suspension

Sering dilihat dalam kereta yang lebih selesa atau mungkin pada Perodua Viva anda. Lebih banyak digunakan pada bahagian belakang berbanding depan. Juga menggunakan lingkaran spring dan absorber tetapi pada bahagian berasingan. Awas, jika anda menggunakan sistem jenis ini dan menggunakan spring lebih pendek dari absorber, kemungkinan spring untuk keluar dari tempatnya adalah tinggi.





Setiap kenderaan mempunyai tujuan berbeza, ada yang diberi suspension yang lebih keras dan ada yang lebih lembut. Kebanyakan kereta biasa akan diberi suspension yang lebih lembut untuk keselesaan penumpang dan pemandu. Pemanduan aggresif adalah dilarang sama sekali untuk kereta jenis ini.

Walaubagaimanapun kekerasan tidak mampu menyelesaikan semua masalah. Di atas jalanraya suspension keras bukanlah satu perkara baik, ia akan memburukkan keadaan terutama di jalan beralun dan berlubang. Ia akan membuatkan kenderaan anda melambung, terbang ke angkasa dan mungkin mengakibatkan tulang anda terbelah dua.

MCU-01 Pecutan



Gambar di atas menunjukkan sebuah lori sedang mengalami pecutan. Pecutan adalah proses perubahan halaju sesuatu jirim tidak kira kecil atas sebesar lori di atas. Dalam keadaan statik atau dinamik, setiap perubahan halaju yang membuatkan jirim itu bergerak lebih pantas dipanggil pecutan.

Anda dan pecutan

Sejak dari kecil anda telah dibiasakan dengan pecutan yang membuat anda cenderung untuk lebih laju. Sejak bayi, seseorang itu cenderung untuk berguling dari satu tempat ke satu tempat lain untuk bergerak, kemudian beralih kepada merangkak, dan kemudian berjalan, dan berlari. Setiap pergerakan anda membuatkan anda mengalami pecutan.

Manusia dan keinginan untuk terus bergerak laju adalah sesuatu yang normal. Bermula dengan menunggang haiwan, mencipta sebuah basikal, kereta, kapal terbang, hinggalah jet pejuang dengan kelajuan bunyi. Perasaan untuk pergi lebih laju sering menghantui manusia normal.


Kini anda mempunyai sebuah kereta. Tahniah diucapkan kepada yang mampu memiliki kereta sendiri. Anda kini boleh memecut lebih laju dari seekor singa. Jika anda mempunyai sebuah kereta yang mampu memecut dari 0-100kmj dalam 14 saat ke atas, anda mungkin seorang yang berhati-hati dan dilindungi oleh kereta anda. Tetapi jika anda mempunyai pecutan 0-100kmj kurang dari 14 saat, nyawa anda mungkin dalam bahaya. Pecutan yang sedemikian memerlukan pemahaman yang tinggi dalam fizik. Walaupun anda bukan ahli fizik atau seorang pelajar aliran sains, anda perlu tahu sesuatu mengenainya!



Memulakan pecutan

Setiap kali memandu, pergerakan pertama kenderaan anda adalah pecutan. Dari keadaan statik, iaitu tidak bergerak ke dalam keadaan bergerak. Setiap kali anda memulakan perjalanan, anda perlu ingat, setiap kali kereta anda memecut, enjin anda juga akan memecut. Bagaimana ia berlaku?

Enjin anda memberi kuasa dengan membakar petrol dan udara, kemudian ia akan menukarkan tenaga kimia berkenaan kepada tenaga kinetik yang kini memutarkan crankshaft anda dan seterusnya dihantar ke gearbox anda yang kemudian akan menggerakkan roda kereta anda.

Jika dilihat pada proses diatas, setiap kali anda memecut, banyak pergerakan yang akan berlaku di situ. Tidak seperti anda bayangkan, apabila kereta memecut, sebuah jirim akan bergerak! Tetapi ia melibatkan banyak pergerakan di situ yang membuatkan dunia ini tidak lagi mudah!

Selamat datang ke dunia yang sukar, dan anda kini akan memecut. Seperti biasa sila pakai tali pinggang keledar, betulkan kedudukan anda dan cermin pandang belakang. Kunci pintu kenderaan anda dan hidupkan enjin. Pastikan suhu enjin anda dalam keadaan yang optimum sebelum memulakan pecutan, jika tidak tunggu sekurang-kurangnya 40 saat jika enjin anda dalam suhu yang sejuk.


Pecutan dari keadaan 'parking'
Pecutan untuk keadaan ini tidak memerlukan pecutan yang tinggi. Untuk tujuan ini biasakan diri anda untuk memecut secara perlahan, jika anda menggunakan kereta manual, tukar gear di bawah RPM 3000 dan untuk kereta auto, kawal pedal minyak anda dan cuba bergerak dengan berhati-hati. Ia mampu menyelamatkan kereta anda kerana tidak terlanggar apa-apa objek, dan menjimatkan minyak serta mengurangkan kerosakan pada enjin anda.


Pecutan di jalanraya
Pecutan di jalanraya pada keadaan statik seperti semasa Traffic light bertukar dari merah ke hijau, memerlukan sedikit kesabaran. Tidak boleh terlalu perlahan dan tidak boleh terlalu laju untuk memberi keselesaan kepada penumpang. Beri ruang 2-3 saat sebelum memecut untuk memastikan tiada halangan di sekeliling anda dan mula memecut.

Berlainan di simpang, ini memerlukan anda untuk memecut lebih laju untuk keselamatan. Sebelum keluar dari simpang, pastikan keadaan selamat, dan apabila anda mula keluar simpang, pastikan anda memecut dengan kadar segera untuk mengelakkan kereta di belakang terkejut dengan kehadiran anda.

Dalam keadaan jalanraya yang padat, pastikan jarak yang selamat. Ia bukan saja mampu mengelak anda dari berlanggar, tetapi mampu menjimatkan minyak. Ini kerana apabila anda terlalu rapat dengan kereta hadapan, anda terpaksa menekan brek dengan banyak setiap kali kereta hadapan menekan brek. Dan terpaksa memecut semula dengan kadar segera. Jika ini berlaku berulang kali, anda telah memberi sedikit tekanan pada kenderaan anda. Jadi kekalkan jarak selamat.


Pecutan dan Kelajuan

Memecut dengan tujuan mendapatkan kelajuan maksimum untuk keadaan tertentu bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan di atas jalanraya. Dan ia tidak patut dilakukan di atas jalanraya atas faktor keselamatan. Artikel seterusnya hanyalah untuk tujuan kefahaman anda.


Untuk memecut dalam kelajuan maksimum, anda perlu mengorbankan keselesaan dan penjagaan kereta anda. Bagi kereta dengan transmisi automatik, memecut dengan maksimum mungkin perkara mudah. Anda hanya perlu menekan pedal dan terus memecut. Ini adalah untuk memecut di jalan lurus.

Bagi kenderaan dengan transmisi manual, memecut dengan maksimum memerlukan kefahaman yang tinggi dalam enjin anda. Sebelum melepaskan clutch untuk memecut, anda perlu menekan pedal minyak dan meletakkan RPM anda di tahap optimum di mana 'Powerband' anda di tahap optimum. Ini juga bergantung kepada jenis pacuan anda, samada pacuan tayar hadapan, belakang atau AWD.

Pacuan hadapan FF, cenderung untuk melakukan 'wheel spin" di mana tayar hadapan berputar tetapi kenderaan dalam keadaan statik. Jika anda terlebih melepaskan kuasa dari enjin anda, anda akan kehilangan geseran dan sukar melakukan pecutan. Jika terlalu kurang, anda menghadapi masalah untuk memecut dengan kadar maksimum.

Pacuan belakang, FR, MR, RR, agak sukar untuk mendapatkan 'wheel spin' berbanding FF, tetapi tidak mustahil. Dalam perlumbaan, kereta jenis ini lebih lambat memecut tetapi agak sukar melakukan kesilapan semasa memecut.

AWD pula menggerakkan keempat-empat tayarnya, anda boleh meletakkan RPM anda di mana saja kerana pacuan jenis ini baik ketika memecut.


Memecut pada selekoh memerlukan fokus yang tinggi. Dalam kelajuan tinggi pada selekoh, tayar akan hilang geseran akibat inersia yang tinggi. Setiap kali anda memecut di selekoh, kriteria seperti di bawah harus dikenalpasti :

- Bentuk kereta
panjang atau pendek, ini mempengaruhi kestabilan kereta anda. Kereta yang tinggi cenderung untuk terbalik, kereta yang rendah cenderung untuk hilang geseran dengan jalanraya. Kereta yang pendek mudah hilang geseran pada selekoh panjang ketika memecut, kereta yang panjang mudah hilang kawalan ketika memecut pada selekoh pendek.


-Sistem Suspension
Keras atau lembut, terlalu lembut akan membuatkan kereta anda cenderung untuk terbalik atau menerima g-force dan body roll yang berlebihan. Terlalu keras akan membawa kepada kehilangan geseran di atas jalan.


-Kuasa enjin
Terlalu kuat menyukarkan anda untuk mengawalnya, terlalu kurang akan menyebabkan ia tidak mampu menarik anda ke jalan kembali. Turbo lag akan mengejutkan kereta. Pedal control sangat penting dalam pengawalan kuasa enjin anda. Begitu juga dengan penggunaan gear. Selain kestabilan kereta, di sini skill anda akan diuji sepenuhnya.


-Tayar dan brek
Geseran bergantung pada tayar dan nyahgeseran bergantung pada brek anda. Kedua-dua ini saling berhubung. Pastikan anda kenali tayar dan brek anda.


Jika dilihat pada artikel ini, ia banyak berkait dengan artikel sebelum2 ini. Sila rujuk kembali artikel lain untuk memahami artikel seterusnya
bersambung....

Copyright-deadMeta 2010, All picture belongs to their respective owner. We do not own any of the picture unless stated. All article are 100% original.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger